Menulis untuk Membela Diri

Suatu masa yang lalu, tahun 2016, aku mula hilang kepercayaan kepada "menulis" kerana suara aku tidak didengari langsung sama ada apabila aku menulis atau bercakap secara terus. Bahkan, pasca aku meninggalkan hubungan yang toksik, kerana tulisan status Facebook dan pelbagai cerita yang entah apa, kesihatan mental aku menjadi semakin parah apabila di dunia yang nyata, aku terus dikecam dan dibuli. Ada beberapa penulis dan beberapa artis, yang tidak aku kenali, menghina aku di khalayak awam. Entah kenapa mereka terlalu membenci aku dan bergembira di atas kejatuhan aku, aku tidak tahu kenapa.

Aku tidak pernah mengambil tahu perihal mereka. Tetapi mereka sudah membenci aku. Sehinggakan ketika aku tertidur di sebuah ruang seni, ada yang ternampak aku memakai tali pinggang daripada tali T-Shirt, seurat panjang dan tipis, mereka menghina aku. Sedangkan, ketika itu, aku terlalu miskin walaupun hendak membeli tali pinggang sekali pun. Paha kiri aku pula lebam ditendang seseorang. Tetapi, bencinya mereka pada aku, ada sahaja penghinaan mereka kepada aku. 

Sehingga aku fikir, walaupun mereka kononnya anarkis, nampak lasak, mereka juga punya perasaan hasad dengki, cemburu dan benci. Mereka tiada empati. Ya, mereka memang tertindas. Tetapi, mereka fikir, hanya mereka sahaja yang ditindas. Lalu aku putus asa dengan apa-apa sahaja yang ada kaitan dengan ekspresi. Menulis? Melukis? Apa sahaja. Jika aku tidak dapat menahan diri untuk berkarya, aku akan simpan karya aku. Aku enggan menulis!

Ditambah pula apabila ibu kandung aku sendiri mengatakan bahawa penulisan aku tentang kajian sebuah polisi ialah sesuatu yang memalukan. Langsung dia tidak fikir apakah kesan perbuatannya. Walaupun aku sudah dewasa, dia tetap akan mengganggu aku berulang kali, menekan dan memanipulasi aku untuk memenuhi apa sahaja yang dia rasa betul. Dia tidak kisah jika dia mensabotaj anaknya sendiri, asalkan keinginan jiwanya diutamakan. Kerap kali aku terfikir, kenapa aku mendengar cakap seseorang yang jahil? Bukankah ketika aku kecil, aku dicabul oleh sekumpulan budak perempuan yang ibu kandung aku sendiri paksa aku berkawan dengan mereka? Ibu aku orang yang memang sangat naif dan kerap kali keputusannya yang dia paksa aku ikut menyebabkan kemalangan aku.

Bapa aku juga naif. Dan dia asyik memaksa aku mendengar cakap ibu aku.

Kesan mereka membungkam aku, aku difitnah berulang-ulang kali. Hak aku dirampas pergi orang. Karya, kajian... apa-apa hasil kerja aku, kreditnya diragut orang. Aku dibuli. Juga dipukul. Aku menyerap segala hentakan dan kecaman sehingga akal aku sendiri tidak dapat menerima lagi pelbagai penderaan yang aku perlu hadapi.

Ala... Ibu aku sendiri pernah menfitnah aku sehingga membuat bapa aku menampar aku. Tidak asing lagi.

Aku tidak tahu kenapa aku menjadi antagonis walaupun aku hanya sibuk bekerja, tidak bercakap dengan sesiapa. Contohnya pada tahun 2016 atau 2017, aku tidak ingat, di mana aku dibawa tinggal di rumah sebuah kurator oleh seorang projek manager untuk menghasilkan beberapa art installation. Suatu hari, kurator itu marah-marah. Kerana aku sedang bersedih, sebahagian daripada proses mengurus trauma, aku tidak ambil tahu dan hanya berdiam diri. Rupa-rupanya, dijumpai dua botol bir di dalam rumah itu. Kurator itu menuduh aku meninggalkan botol bir itu di situ. Khabarnya juga, beberapa batang rokok turut aku ambil. Sebenarnya, bukan aku! Yang minum itu ialah projek manager aku dan kekasihnya. Bukan aku. Tetapi aku yang dibenci. 

Ini bukan kali pertama aku dijadikan watak antagonis dalam hidup seseorang. Walaupun bekas pasangan aku yang berlaku khilaf dan mencekik aku, walaupun aku sudah menyuruh dia pulang ke kampung untuk berfikir dan mewujudkan jarak antara kami, walaupun apa sahaja yang dia buat... Akulah yang dilabel sebagai penjahat dan pencetus kejahatan, licik dan sebagainya. 

Aku bukan hendak membalas dendam terhadap bekas pasangan aku. Apa yang dia lakukan ialah kesilapan besar kerana kejahilannya dan kesukaran dia mengawal dirinya sendiri. Itu masalah dia. Ini kisah lama dan mungkin dia sudah berubah.

Aku menulis lebih kepada kerana aku mahu membela diri aku! Mungkin aku terlalu sibuk selama ini dan membiarkan fitnah berleluasa. Dan fitnah itu dibawa sehingga kini. Bahkan, ada yang berani memetik-metik nama aku untuk mewujudkan drama dalam hidup mereka. Sedang mereka mencipta drama, aku pula terus sibuk bekerja. Dari cerita lain, plot cerita terus berkembang yang pelik-pelik. Aku terpaksa berdepan dengan apa yang aku tidak lakukan!

Penat!

Mungkin aku patut menulis setiap dosa yang aku akui aku lakukan. Kemudian aku hanya akan bertanggungjawab pada setakat mana yang telah aku lakukan. Selebih dari aku, aku tidak akan layan. Atau aku akan menulis untuk membela diri atau menolak fitnah itu agar kembali kepada tuan asalnya.

Nampaknya, aku perlu menulis untuk membela diri.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Lenggang-Lenggang Untuk Perempuan Tertindas